Ikan Daun Amerika Selatan atau Ikan Daun
Amazon (Monocirrhus polycanthus) merupakan ikan yang unik terdapat di
Sungai Amazon, Amerika Selatan kerana kebolehannya mengubah warna dan corak badannya menyerupai sehelai daun kering dengan tangkainya sekali.
Ia merupakan antara ikan air tawar yang boleh meniru bentuk dan corak
objek lain di sekelilingnya sebagai penyamaran. Ini membolehkannya
menyorok daripada ditangkap oleh pemangsa dan memudahkannya menangkap
mangsa.
Ikan ini suka hidup dalam habitat air sungai yang cetek, berlumpur dan dipenuhi dengan tumbuhan air.
Bagaimanakah ikan Daun Amerika Selatan ini menangkap mangsanya?Ikan
Daun ini dikenali sebagai ikan karnivor (walaupun saiznya hanya 8 cm
panjang) dengan memakan udang kecil, cacing, ikan kecil atau haiwan
lain. Bagi mendapatkan mangsanya, ikan Daun ini mengubah warna badannya
menyerupai sekeping daun kering dan bergerak seolah-olah dihanyutkan
oleh arus sungai ke arah mangsa tersebut, walaupun sebenarnya ia
bergerak menggunakan siripnya yang lutsinar (tiada warna).
Apabila berhampiran dengan mangsa, ikan ini akan menerkam kepala
mangsanya dengan pantas, dengan menggunakan mulutnya yang dijulurkan
keluar membentuk satu tiub yang besar bagi menghisap dan menelan
mangsanya.
Ikan Daun Amerika Selatan ini juga mempunyai tabiat
pembiakan yang unik. Setelah induk betina mengeluarkan telur dan
disenyawakan oleh sperma, induk jantan akan mengambil alih tugas menjaga
telur-telur tersebut dengan mengipas-ngipas telur dengan sirip
pektoralnya sehingga telur menetas selepas 60-90 jam disenyawakan.
Anak-anak ikan Daun yang menetas akan hidup sendiri tanpa perlukan
penjagaan rapi daripada kedua induk jantan dan betina.
Monday, January 14, 2013
0 Response to "Ikan Daun Amerika Selatan (Monocirrhus polycanthus) yang unik"
Post a Comment